Pemerintahan Leopold II dari Belgium

Jata Diraja

Leopold menjadi raja pada 1865. Pemerintahan baginda ditandai oleh beberapa perkembangan politik yang besar. Parti Liberal mentadbir Belgium dari 1857 sehingga 1880 dan semasa tahun akhir pentadbiran mereka menggubal Undang-undang Frère-Orban 1879. Undang-undang ini mewujudkan sekolah rendah wajib percuma dan sekular yang disokong oleh kerajaan negeri dan menarik semula semua sokongan negeri daripada sekolah rendah Roman Katolik. Pada 1880, Parti Katolik memperoleh majoriti di parlimen dan 4 tahun kemudian mengembalikan semula sokongan negeri kepada sekolah-sekolah Katolik. Pada 1885 pelbagai golongan sosialis dan demokratik bekerjasama dan menubuhkan Parti Buruh. Pergolakan sosial yang meningkat dan kebangkitan Parti Buruh memaksa penggunaan hak mengundi lelaki sejagat pada 1893. Di dalam politik domestik Belgium, Leopold menekankan pertahanan ketenteraan sebagai asas berkecuali, tetapi baginda gagal untuk mendapatkan undang-undang kerahan sejagat sehingga saat kematiaFkeman baginda.

Mendapatkan Negeri Bebas Congo

Monumen di Arlon (Belgium). "Saya telah mengambil-alih kerja di Congo untuk kepentingan peradaban dan juga kebaikan Belgium."

Leopold percaya penjajahan luar negara dilihat sebagai kunci kehebatan sesebuah negara dan baginda berusaha tanpa lelah untuk mendapatkan wilayah jajahan bagi Belgium. Lama-kelamaan Leopold mula cuba mendapatkan sebuah koloni dengan keupayaannya sendiri sebagai rakyat biasa. Kerajaan Belgium meminjamkan wang kepada baginda untuk tujuan ini.

Pada 1866, Leopold mengarahkan duta baginda di Madrid untuk berbincang dengan Ratu Isabella I mengenai cadangan menyerahkan jajahan Filipina ratu itu kepada Belgium. Walau bagaimanapun, duta tersebut enggan melakukan kerja tersebut, maka baginda segera menggantikan duta tersebut dengar seseorang yang lebih menyokong rancangannya.[1]

Pada 1868, apabila Isabella II digulingkan dari takhta, Leopold cuba mengambil kesempatan untuk menjayakan rancangan asal baginda untuk mendapatkan Filipina namun masih gagal akibat ketiadaan dana sedia ada. Leopold kemudian merancang untuk "memerdekakan" Filipina yang kemudiannya akan diperintah jua oleh seorang rakyat Belgium, namun Rancangan ini juga tidak berjaya. Disebabkan kedua-dua rancangannya telah gagal, Leopold mengalih hasrat penjajahan baginda ke Afrika.[1]

Selepas beberapa rancangan untuk mendapatkan jajahan di Afrika dan Asia gagal, pada 1876 Leopold menubuhkan sebuah syarikat pegangan swasta yang menyamar sebagai sebuah pertubuhan dermawan dan saintifik antarabangsa bernama Persatuan Antarabangsa Afrika (Association Internationale Africaine). Baginda dengan kawalselia syarikat tersebut mengupah Henry Morton Stanley, seorang penjelajah terkemuka untuk menjelajah dan mendirikan sebuah koloni di rantau Afrika pada tahun 1878. Banyak muslihat diplomatik berlaku semasa Sidang Berlin 1884–1885 berkaitan hal-ehwal Afrika, di mana para perwakilan dari empat belas negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat mengiktiraf Leopold sebagai pemerintah di kebanyakan kawasan yang telah dituntut oleh baginda dan Stanley. Pada 5 Februari 1885, Negara Bebas Congo telah ditubuhkan dalam sebuah kawasan berkeluasan 76 kali ganda lebih besar dari Belgium yang bebas diperintah baginda melalui tentera persendiriannya, Tentera Awam Belgium (Force Publique).